Loading...

Follow AMIE'S LITTLE KITCHEN on Feedspot

Continue with Google
Continue with Facebook
or

Valid
 Alhamdulillah. 
Walaupun suka makan Sambal Tempoyak dengan Ikan Bilis, Petai dan Terung Pipit, tapi tidaklah selalu sangat memasaknya. Kalau sudah semangkuk sambal begini terletak di meja hidangan, memang sanggup tolak separuh nasi dalam pinggan! Bukan apa... suka meratah sahaja!

Amie lebih suka masakan sambal tempoyak yang tidak terlalu pedas kerana ingin menikmati kerangupan rasa petai dan juga terung pipit. Ada kalanya jika sambal terasa sangat pedas, ia boleh membunuh selera...hiks! Untuk tujuan itu, Amie gunakan cili padi yang kurang pedas selain cili padi kampung.

Seperti kebiasaannya, Amie goreng terlebih dahulu terung pipit sebelum mencampurkannya bersama bahan-bahan lain di dalam kuali. Untuk gambar penuh dan langkah demi langkah bolehlah klik dalam entri ini : SAMBAL TEMPOYAK DENGAN IKAN BILIS, PETAI DAN TERUNG PIPIT.

 Bahan-bahan:
1 cawan tempoyak
1 cawan ikan bilis - rendam seketika - bilas - toskan
1 cawan isi petai - jika mata petai besar, bolehlah hirid dua
1 cawan terung pipit - digoreng hingga layu
2 helai daun kunyit - dihiris halus
1 labu bawang besar - hiris kasar
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
1 cawan cili padi
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan ikan bilis, petai dan juga terung pipit dan juga tempoyak.
3. Gaul rata dan kemudian masukkan bawang besar dan hirisan daun kunyit.
4. Taburkan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali dan kemudian padamkan api dapur.
  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Assalamualaikum dan selamat petang.
Ada lagi menu resepi tertinggak yang baru sempat dijadikan entri.
Alhamdulillah, masih ada saki-baki semangat untuk menulis resepi dan berkongsi gambar masakan seadanya.

Resepi sayur losun ini telah beberapa kali Amie kongsikan di dapur maya ini. Amie suka masak sebab Encik Suami suka makan sayur ini... ahaks!

Kebetulan ada cili putih, jadi masak sahajalah sayur losun seperti biasa dengan mencampurkan bahan lain seperti bunga kantan dan juga ikan bilis.

Cili putih ini tidaklah sepedas cili padi kampung. Amie suka tumis bulat-bulat tak dihiris. Boleh kunyah sekali bersama sayur dan rasanya pedas-pedas manja saja.

Seperti biasa, kalau ada bunga kantan yang sudah kembang eloklah dicapur dalam masakan sayur losun. Amie gunakan sekuntum bunga kantan yang sudah kembang.

Sayur losun @ lokio pun sudah bersedia untuk diolah. Jadi, mari kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
10 batang sayur losun - potong - pisahkan daun dari bebawang
1 kuntum bunga kantan yang sudah kembang - leraikan
15 biji cili putih
1 cawan ikan bilis - bilas dengan aiir bersih - toskan
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris.
2. Kemudian masukkan ikan bilis dan kacau beberapa kali.
3. Seterusnya masukkan cili putih dan bebawang losun @ lokio.  Masak seketika sehingga cili putih kelihatan layu.
4. Masukkan daun losun bersama bunga kantan.
5. Taburkan garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Jemput makan sayur losun @ lokio @ tomboutung!
  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Lama tak meratah kerabu perut!
Tambahkan pucuk paku dan taugeh.... walllaaaa!

Kerabu Perut, Pucuk Paku dan Taugeh ini diolah seringkas-ringkasnya dan semudah-mudahnya! Tidak ada penggunaan kerisek dan juga santan. Kelapa parut pun hanya ditumbuk sedikit dan terus gaul. Hurrrmmm... Kalau Bonda nampak ini mesti dia tegur: Kenapa tak bakar dahulu kelapa sebelum parut? Kalau tak mahu bakar kenapa tak disangan sebentar? Kenapa begitu, kenapa begini... ahaks!  Ikut selera sendiri saja ye!  Tak ada salahnya buat kerabu cara begini. Lagipun dalam Kamus Bahasa Melayu ada menyebut definisi kerabu sebagai: makanan yang dibuat daripada hirisan mentimun atau sayur-sayuran yang dicelur serta dibubuhi kelapa parut, garam, lada dan lain-lain. Tokok tambah bahan lain itu dikira ikut selera dan kreativiti masing-masing. Mari kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 mangkuk hirisan perut lembu - siap dicelur
1 mangkuk pucuk paku - siap dicelur
1 cawan taugeh - siap dicelur
1 cawan kelapa parut - tumbuk sedikit - jangan sampai lumat
1 labu bawang besar - hiris nipis
1 kuntum bunga kantan - hiris
garam / gula / perasa pilihan
7 biji limau kasturi - perah jusnya

Bahan tumbuk:
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan
15 biji cili padi - boleh tambah jika suka pedas

Cara:
1. Sediakan mangkuk saiz besar. 
2. Masukkan kesemua bahan dan gaul rata.
3. Biarkan 10-15 minit sebelum dihidangkan.

Ringkas dan mudah disediakan bukan?
Lagi pedas lagilah menambah-nambah dalam pinggan.
Mari, temankan meratah Kerabu Perut, Pucuk Paku & Taugeh!
  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Assalamualaikum.
Jumpa lagi.
Jom main masak-masak. Kita olah masakan yang ringkas dan mudah sahaja. Maklumlah pulang dari kerja, perut pun lapar semacam. Kebetulan pula Fuad sudah masak nasi dan rendam dada ayam. Masaklah apa pun, yang penting cepat siap dan boleh masuk perut...ahaks!
Maka terhidanglah Ayam Goreng Kunyit dengan Kacang Manis.
Masing-masing sudah tentu ada kaedah dan cara tersendiri untuk menghasilkan hidangan ayam goreng kunyit. Terpulanglah nak masak cara mana, yang penting rasa sedap dan boleh diterima seisi keluarga. 

Jom lihat resepi Ayam Goreng Kunyit dengan Kacang Manis di bawah ini.

Bahan-bahan:
700 gram dada ayam - potong kiub ikut saiz yang digemari - perap dengan sedikit garam dan serbuk kunyit selama 15 minit
15 biji kacang manis - bersihkan - potong 2
1/2 batang lobak - belah 2 -  hiris nipis
2 biji cili merah - hiris
2 biji cili hijau - hiris
1 labu bawang besar - hiris kasar
3 ulas bawang putih - hiris
3 biji bawang merah - hiris
2 cm halia - hiris nipis
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
garam / gula / perasa pilihan
4 sudu besar minyak

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah serta halia hingga terbit bau.
2. Kemudian masukkan dada ayam perap garam kunyit dan gaul rata. Kacau beberapa kali sehingga dada ayam masak.
3. Masukkan hirisan lada merah, lada hijau, lobak, kacang manis dan bawang besar.
4. Gaul rata. Biarkan masak sehingga kacang manis berubah warna.
5. Taburkan lada putih, garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Assalamualaikum.
Hari ini Amie ingin kongsikan menu telur padi atau biasanya kami panggil telur hitam. Ada nama lain bagi telur padi ini misalnya telur seratus tahun bahkan ada yang memanggilnya telur seribu tahun! Telur itik awet ini juga dikenali sebagai telur pindang Cina kerana katanya asal-usulnya dari Hunan semasa Dinasti Ming.

Encik Suami suka kalau telur padi ini disediakan dalam bentuk acar atau ada perahan jus limau kasturi atau limau nipis, tambahkan hirisan cili padi dan bawang. Amie pula lebih suka cecah sambal kicap atau apa-apa pencecah. Kalau rajin, Amie akan hiris telur padi, taburkan di atasnya dengan lobak jeruk, hirisan cili dan bawang dan bubuh sedikit sos ikan dan perahkan kus limau.

 Kali ini Amie cuba penuhi selera Encik Suami. Tak susah pun nak menyediakannya.

Ini dia rupa telur padi atau telur seratus @ seribu tahun! Telur itik ini diperam bersama campuran tanah liat, abu, garam, kapur dan sekam padi. Untuk menikmatinya, telur padi hanya perlu dibersihkan dan dikupas sahaja kulitnya. Bagaimanapun kadang-kadang Amie suka rebus dahulu sebelum memakannya!

 Telur padi setelah dibersihkan.

Teringat pertama kali sewaktu makan telur padi, Amie sangka kami beli telur buruk! Waktu itu Amie (masih bujang)  bersama rakan sekerja, baru turun dari mendaki Gunung Kinabalu. Oleh kerana tak larat untuk berjalan kerana sakit segala betis dan peha, jadi kami berehat beberapa hari di rumah kawan kami di Kota Kinabalu. Walaupun sakit kaki tapi sempat meronda ke bandar dan kawan Amie beli telur padi yang disangkanya telur masin. Kebetulan pula kawan tempat kami tinggal itu biasa makan telur padi dan katanya itu bukan telur buruk tapi telur herba! Telur herba pula dipanggilnya!
Siapalah tak kata telur buruk, bila direbus (sepatutnya tak perlu rebus) dikupas, hitam pulak isi telurnya! Dan satu lagi, kami sangka isi telur itu memang betul-betul buruk sebab sudah nampak cendawan warna putih mula tumbuh! Hahaaa... memang terasa lucu bila dikenang semula. Cendawan @ kulat yang kami katakan itu sebenarnya corak hablur pelbagai garam setelah melalui proses pengawetan.

Bila diperhatikan betul-betul, nampak unik pula telur padi ini. Corak yang terbentuk di bahagian luar isi telur yang seakan jeli ini berbentuk emping salji! Cantik!

Kalau telur masin, kuning telurnya kelihatan cantik berwarna kuning atau jingga tetapi telur padi ini sebaliknya pula. Kuning telur kelihatan berwarna hijau kehitaman! Manakala bahagian luarnya yang putih bertukar warna kepada coklat gelap dan rasanya kenyal-kenyal lembut seperti agar-agar. 
Untuk perkongsian telur padi kali ini, Amie hanya sediakan menu yang ringkas sahaja dan jika suka, boleh dipelbagaikan cara penyediaannya. 

Bahan-bahan:
4 biji telur padi - bersihkan - kupas kulit - bilas dengan air panas - toskan 
15 biji isi petai
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan - tumbuk kasar
1 sudu kecil sos ikan
2 biji limau kasturi
3 sudu besar minyak

Bahan hiris:
3 biji cili merah - nak pedas boleh gunakan cili padi
3 biji cili hijau
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 cm halia 

Cara:
1. Telur padi dibelah 4. Ketepaikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bahan hiris hingga layu.
3. Kemudian masukkan udang kering tumbuk, tumis hingga naik bau.
4. Seterusnya masukkan petai dan juga sos ikan. Kacau beberapa kali sehingga petai berubah warna.
5. Padamkan api dapur.
6. Ambil separuh bahan tumisan dan bubuh atas bekas / pinggan / mangkuk.
7. Susun telur padi di atasnya.
8. Kemudian ambil bahan tumisan selebihnya dan bubuh atas telur padi.
9. Jika suka, perahkan jus limau kasturi di atasnya.

Tak bubuh jus limau kasturi pun masih sedap untuk dinikmati!

Jemput!

Sekian.
Cerita kali ini tentang telur padi @ century egg.

  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Jom sembang makanan tradisi masyarakat Bajau belah pantai timur Sabah khususnya di Lahad Datu. Setiap kali keluar ke kedai mesti terpandang gerai jualan ikan panggang, putu, tompek dan juga kilau. Kadang-kadang kalau tak ada selera makan, memang gerai itulah yang dituju. Beli sebatang dua putu bersama sebungkus kilau serta ikan panggang. Pendek kata makanan tradisi ini memang ada di mana-mana, baik di warung kecil di taman-taman perumahan atau di bandar.
Biasanya kilau  atau kinilau yang Amie beli, bahan yang digunakan begitu mudah untuk diperolehi. Ikan yang digunakan pun tidak semestinya dari jenis ikan besar atau mahal seperti ikan tuna atau tenggiri. Ada kalanya Amie jumpa isi ikan kembung, ikan bilis dan ikan lain yang bersaiz kecil. Ketika menikmatinya bersama putu, akan terkunyahlah hirisan halia muda, yang tidak 'mengganggu' rasa. Cili padinya pula dibubuh bulat sebiji-sebiji tanpa dihiris. Kalau nak rasa pedas, patahkan atau picit saja cili tersebut.
FIL gemar makan kilau. Kalau Amie di kampung, kebetulan FIL pula membawa ikan segar, FIL suruh Amie buatkan kilau untuknya. FIL suka gunakan isi ikan belanak.

Hari ini bersilat sendirian di dapur menyediakan kilau @ kinilau. Amie gandingkan dengan teman-teman yang seangkatan dengannya termasuk latok, siput tarik dan juga ikan belais panggang.

  Biasanya dalam hidangan bersama latok, Amie panggang ikan kayu @ tongkol, tetapi hari ini Amie panggang ikan belais.


Nampak ikan kembung @ ikan temenung yang segar dan cantik, belilah sekilogram. Kononnya nak buat kilau.

Di Pasar Ikan Lahad Datu, memang akan kelihatan di sana sini peniaga kecil-kecilan dengan jualan mereka seperti mangga muda, bawang, halia, limau dan cili padi. Kesemua bahan ini digunakan sebagai ramuan untuk menghasilkan kilau. Kalau dah pasang niat nak buat kilau, beli saja ikan pilihan dan bahan-bahannya di sini.

Sampai di rumah, tak sabar nak bersihkan ikan kembung @ temenung untuk dijadikan kilau. Amie ambil 5 ekor sahaja. Sebenarnya ikan kembung @ temenung ini Amie suka sangat goreng lembik-lembik, lepas tu makan dengan nasi panas dan bubuh kicap! Walllaaaa..... enak banget!

Ini dia bahan-bahan untuk mengolah kilau. Selain isi ikan, kita perlukan mangga, bawang merah atau bawang besar, halia, cili padi dan juga jus limau kasturi. Kalau nak gunakan cuka untuk gantikan limau kasturi pun boleh juga. Kalau FIL, memang kena gunakan jus limau nipis... ahaks! Halianya pula, Amie lebih suka gunakan halia muda, sebab rasa dan baunya tidak terlalu kuat, boleh kunyah sekali sewaktu menikmati kilau.

Banyak juga jus limau yang Amie gunakan. Rasanya hampir 15 biji limau kasturi untuk menghasilkan jus seperti dalam gambar di bawah. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
5 ekor ikan kembung @ temenung (boleh gunakan isi ikan lain seperti tenggiri, ikan bilis dll) - bersihkan - ambil isinya dan hiris nipis
1 biji mangga muda - kupas kulit - cincang
1 labu bawang besar - kupas kulit - hiris
4 cm halia - hiris halis
10 biji cili padi - boleh hiris jika suka pedas
1/2 cawan jus limau kasturi
garam / perasa pilihan

Semua bahan sudah siap dan bersedia untuk bergabung menjadi satu di dalam mangkuk.

 Ikan kembung yang sudah dihiris.

 Jus limau kasturi.
Kalau tidak ada limau kasturi, boleh gantikan dengan cuka makan.

 Hirisan bawang besar dan halia.

 Hirisan mangga muda.

 Cili padi yang telah dipotong dan ada yang biar bulat begitu sahaja. Kalau nak lebih pedas, boleh gunakan cili padi kampung.

Mari kita mulakan kerja. Mula-mula masukkan hirisan mangga muda ke dalam mangkuk besar.

 Kemudian masukkan pula hirisan halia dan bawang besar.

 Seterusnya masukkan hirisan isi ikan.

 Jangan lupa masukkan juga cili padi.

 Garam / perasa pilihan.

 Dan akhir sekali tuangkan jus limau kasturi.

 Gaul rata dan biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dihidangkan.

Setelah 20 minit, isi ikan pun 'masak' oleh jus limau kasturi, dan bahan lain seperti mangga dan bawang besar juga kelihatan layu. 

 Mari kita hidangkan bersama rakan-rakannya yang lain.

 Ada latok @ rumpai laut @ anggur laut.

 Siput tarik pun ada. Tarik keluar isi siput gunakan lidi pencucuk dan cecah dengan sambal cili padi & bawang putih.

 Ikan belais panggang menggantikan ikan kayu @ tongkol seperti kebiasannya.

 Lada pencecah yang sangat sedap!  
Cili padi, bawang putih, jus limau kasturi, garam, gula & perasa pilihan.

Kali ini Amie tak makan nasi. Amie hanya meratah sahaja latok, ikan belais panggang dan siput tarik!

Encik Suami yang menambah-nambah nasi dalam pinggan!
Sekian.

  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu.
Pagi ini gantung periuk kuali.
Awal pagi lagi sudah keluar untuk cari alas perut di restoran di seberang jalan sanun. Perut tak berapa nak terima sebab matahari belum terbit....  ahaks! Kita punya perut ni lain macam tau. Kalau matahari dah bersinar barulah boleh terima sebarang makanan dan minuman dengan selesa!
Selesai bersarapan, kami hantar Fuad ke kelas memandu.
Fairuz pula, masih berada di sekolah kerana mengikuti aktiviti perkhemahan.
Tinggalkan kami bertiga dengan Encik Suami dan Firdaus.
Kami  ke Pasar Tani Lahad Datu untuk mencari apa yang patut dibeli termasuk sayur-sayuran, siput, petai, cili dan sebagainya. Tidak ketinggalan beli kuih-muih, bolehlah makan sebelum makan tengahari nanti.

 Beli kuih RM1 setiap jenis. Dapatlah berjenis-jenis.... banyak juga! 

Sesekali teringin juga merasa kuih-muih yang orang jual. Sedap atau sebaliknya itu ikut selera dan citarasa masing-masing. Yang penting dapat tambah ilmu tentang rasa dan bahan yang digunakan. Nampaknya kuih penjaram yang biasanya dijual dengan harga RM1 untuk 3 ketul sudah berubah kepada RM1 kepada 2 ketul sahaja.

Kuih tradisi masyarakat Bajau ini juga sudah dipelbagaikan dengan penggunaan warna hijau dari jus daun pandan. 

Kuih kasturi atau kuih cucur kacang hijau ini kegemaran Encik Suami.
Tak berani nak kata kuih kaum mana, sebab dari kecil memang dah biasa jumpa dan makan kuih ini.

 Ini kuih sawallah. kuih tradisi masyarakat Bugis.  

Ini pula bebola ubi kayu. Sesetengahnya memanggil dengan nama hetuk ubi kayu. Kalau 'getuk' itu bunyinya dari bahasa Jawa.  Tak pasti pula Getuk Ubi Kayu ini milik tradisi siapa.

 Ini kuih buroncong. Kawan-kawan kata kuih buroncong ini kuih tradisi masyarakat Bugis.

Jalan-jalan Cari Kuih di Pasar Tani Lahad Datu berakhir bila bertemu dengan rendang ayam dan lemang. Marilah kita beli, nak cuba pula masakan rendang ayam hasil air tangan peniaga tempatan. Oh! Kuah rendangnya berlinang-linang dengan minyak.

Lemangnya pula ada warna putih dan warna hijau daun pandan.
Sekian.
Kisah Jalan-Jalan Cari Kuih di Pasar Tani Lahad Datu.
  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Selamat petang dan selamat memulakan hari rehat di hujung minggu.
Tak mahu panjangkan cerita, mari kita jamu mata dengan Udang Galah Masak Sambal dengan Kacang Panjang. Sebenarnya masakan ini merupakan hidangan makan malam kami pada minggu lepas, tapi agak terlewat untuk dijadikan dipaparkan.

Masakan ini memang sedap dinikmati bersama nasi panas atau nasi lemak. Sambalnya itulah yang memikat selera, dan kacang panjang ditambah sekadar untuk memudahkan proses masak sekali harung. Jadi, tak perlu masak sayur lagi. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
400 gram udang galah - bersihlan - bilas - toskan
10 batang kacang panjang - potong ikut panjang yang digemari
1/2 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu kecil pati asam jawa
4 sudu besar minyak
garam / gula melaka / perasa pilihan

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
1 batang serai - ambil isinya yang putih
1/2 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, dan belacan dengan api sederhana hingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan pati asam jawa dan gula melaka secukupnya. Kacau sebati.
3. Masukkan udang galah dan kacau beberapa kali. Biarkan sehingga udang galah masak.
4. Seterusnya masukkan kacang panjang.
5. Setelah kacang panjang berubah warna, taburkan hirisan bawang besar,  garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Anak-anak sukakan rasa sambal yang melekit pada badan udang galah! Walaupun pedas, tapi lazat!

  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Assalamualaikum.
Dah sarapan pagi?
Ada lebihan nasi semalam tak?
Jom kita buat nasi goreng untuk alas perut pagi ini.

Dah pun siap!
Nasi Goreng Belacan Pedas Berapi nama diberi.... hiks!
Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih sejuk
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih cincang
4 sudu besar minyak
1 sudu besar sos ikan
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
garam - jika perlu

Bahan tumbuk:
20 biji cili padi
2 cm belacan
1 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bawang besar serta bawang putih hingga layu.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk . Tumis dengan api perlahan hingga terbit minyak.
3. Besarkan api dapur. Masukkan nasi putih dan kacau rata.
4. Tuangkan sos ikan dan taburkan Maggi Cukup Rasa. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Belacan, sos ikan dan Maggi Cukup Rasa sudah lengkap menjadi perasa dalam nasi goreng. Kalau tak rasa masin juga, tambahkan sedikit garam mengikut selera masing-masing.

Nasi Goreng Belacan Pedas Berapi yang Amie olah nampak togel saja. Jadi, tambahkanlah beberapa bahan lain sebagai pelengkap. Amie sediakan sosej dan juga telur dadar.

Amie tambahkan juga kacang panjang sebagai ulam, serta kacang tanah dan ikan bilis goreng.

Jom sarapan pagi!

  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 
Jumpa lagi.
Amie kongsikan resepi Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor, hidangan tengahari kami sekeluarga pada hari ini. Alhamdulillah, sekembalinya anak-anak dan Encik Suami dari menunaikan solat Zohor, kami makan tengahari bersama.

Sebenarnya daun kelor ini Amie bawa pulang dari tempat kerja kelmarin tengahari, tetapi sampai rumah lain ceritanya. Apa tidaknya, sampai rumah sudah tersedia longgokan sate yang banyak! Ada orang belanja sate! Jadi kami pun makan saja sate tersebut, dan perut pun kenyang sehingga nasi yang dimasak oleh Fuad tidak terjamah!
Daun kelor?
Terlupa!

Tengahari tadi Amie dapati daun kelor masih lagi elok, dan daun-daunnya pun belum berguguran. Pucuknya pula kelihatan sangat muda dan lembut! Daun kelor ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti merunggai, rambungai, lemunggai dan juga moringa. Masyarakat tempatan di Sabah ada yang memanggilnya dengan nama tambarayong. 

Baiklah kita masak lemak daun kelor, temankan dengan udang galah. Amie tambahkan udang kering kisar halus ke dalam masakan.  Kemudian goreng ikan  kerapu dan buat sambal belacan!
Jom kita lihat resepi Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor di bawah ini.

Bahan-bahan:
400 gram udang galah - bersihkan - toskan
10 batang daun kelor
800 ml santan - dikisar dari 1/2 biji kelapa
1 keping asam gelugor
1 batang serai - diketuk
1 biji cili merah - hiris
garam / gula  / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
20 biji cili padi
2 sudu besar udang kering
3 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Masukkan santan ke dalam periuk / kuali disertai dengan bahan tumbuk / kisar, serai, asam gelugor dan udang galah.
2. Masak di atas api sederhana dan sentiasa dikacau supaya tidak pecah minyak.
3. Setelah udang galah masak, masukkan daun kelor, hirisan cili merah, garam / gula / perasa pilihan.
4. Kacau seketika sehingga daun kelor berubah warna.
5. Padamkan api dapur.


Daun kelor yang Amie masak bersama udang galah ini masih sangat muda dan lembut, jadi sebaik sahaja Amie masukkan ke dalam masakan udang galah, Amie hanya kacau sekali dua sahaja dan padamkan api dapur sebab kalau masak agak lama, sayur akan hancur.

Kononnya nak olah daun kelor masak lemak tapi akhirnya bernama Udang Galah Masak Lemak dengan Daun Kelor. Udang galahnya pula yang menenggek dalam mangkuk, manakala sayur daun kelornya pula tenggelam ke dalam kuah. Jemput makan ye.

Read for later

Articles marked as Favorite are saved for later viewing.
close
  • Show original
  • .
  • Share
  • .
  • Favorite
  • .
  • Email
  • .
  • Add Tags 

Separate tags by commas
To access this feature, please upgrade your account.
Start your free month
Free Preview